Pilihan Di Tangan Anda
May 10th, 2012

Ada satu cerita yang mengisahkan tentang dua orang Inggeris yang ingin belajar daripada seorang yang bijaksana dan sangat terkenal. Mereka mengembara dengan merentasi lautan dan sampai di pandai negeri China. Mereka perlu mendaki gunung untuk bertemu dengan pendeta itu yang dikatakan dapat menjawab apa-apa sahaja soalan. Mereka mahu menguji orang berilmu itu, untuk melihat benarkah dia benar-benar bijak.
Semasa mereka mendaki, tiba-tiba mereka sedar mereka belum lagi menyediakan soalan-soalan yang mahu ditanya. Melihat ke langit, seorang daripada lelaki itu melompat dan menangkap seekor burung yang sedang terbang rendah. Dia memberitahu rakannya, sekarang dia tahu apa soalan yang ingin ditanyakan.
Pendeta itu sedang melakukan meditasi ketika mereka menghampirinya. Seorang daripada mereka memanggilnya dengan kasar, “ Hei, awak yang mengatakan diri awak sungguh bijak ! Kami datang ke sini untuk mengetahui betapa benarnya kata-kata awak itu. Sekiranya awak sungguh bijak, beritahu saya adakah burung di tangan saya ini masih hidup atau telah mati ?”
Dengan tenang pendeta itu bangun dan tunduk hormat kepada mereka. Dia melihat kearah mereka dengan belas kasihan lalu berkata,
“Wahai, awak yang datang daripada nun di sana, sekiranya saya memberitahu awak bahawa burung di tangan awak telah mati, awak akan melepaskannya dan tekaan saya akan jadi salah, tetapi jika saya kata burung di tangan awak masih hidup, awak akan memicitnya hingga mati dan tekaan saya akan salah lagi !”
Dia lalu naik ke atas batu-batu berhampiran dan melihat kea rah tetamunya lalu mengeluarkan kata-kata hikmat ini, “ Pilihan adalah di tangan anda”.
Cara kita melihat dunia kita bergantung kepada pilihan kepercayaan yang kita pegang dalam minda kita. Kepercayaan yang tertanam dalam diri kita bertindak sebagai penapis yang membentuk gambaran ( untuk perbincangan kita, saya namakan peta ) dalam minda kita. Peta itu ialah apa-apa yang kita lihat pada realiti kita. Dua orang mungkin mengalami peristiwa yang sama, tetapi seorang akan keluar dengan keputusan yang positif dan yang lain berakhir dengan membenci dunia ini. Sebagai contoh, seorang budak lelaki yang dicemuh oleh guru dan kawan-kawannya kerana jawapannya salah.
Dia mempunyai pilihan sama ada untuk menyimpan komen yang negatif tadi atau membuangnya keluar dan belajar secara positif daripada insiden tadi. Pilihan di tangannya. Itulah sebabnya orang yang berjaya selalu menekankan agar memeriksa kepercayaan kita dan mencabarnya jika perlu. Sesuatu peristiwa itu sama ada baik atau buruk tidak memberikan apa-apa makna kecuali pengertian yang kita cipta sendiri.
Pengertian ini amat bergantung kepada peta yang kita buat mengenai perkara itu. Peta itu perlu diwarnai oleh sistem kepercayaan kita.
Kita mencipta pengertian mengikut kepercayaan kita sendiri. Kita membuat gambaran kita sendiri atas satu-satu kejadian. Apa-apa sahaja maklumat yang masuk ke dalam minda kita akan dipadamkan, diputarbelitkan, dan dibuat kesimpulan mengikut sistem kepercayaan kita yang bertindak sebagai penapis. Oleh yang demikian, jika kita mahu berjaya, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk kita bertanya sama ada kepercayaan – kepercayaan ini memberikan sumbangan kepada kita dan akan membawa kita kearah yang kita mahu pergi. Sekiranya tidak, mengapakah kita masih berpegang kepadanya ? Pilihan di tangan kita.
Sumber: Membina Anak-anak Cemerlang.
Entry Filed under: Ispirasi


Leave a Comment
Some HTML allowed:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>
Trackback this post | Subscribe to the comments via RSS Feed